TUALA dicuri suspek ditemui semula di sebuah premis di Shamelin Perkasa, Cheras.
TUALA dicuri suspek ditemui semula di sebuah premis di Shamelin Perkasa, Cheras.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Berlagak tidak ubah seperti samseng ‘kawasan’. Itu gelagat seorang lelaki warga India yang melarikan pelbagai tuala yang dianggarkan bernilai RM200,000 dari sebuah premis di Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Cheras, di sini.

Bagaimanapun lelaki berusia 32 tahun itu ditahan polis di sebuah premis di Jalan 5/91, Shamelin Perkasa, Cheras di sini, jam 1 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 47 tahun yang juga pengurus syarikat terbabit dikatakan baru saja keluar dari premis sebelum dihampiri suspek yang mendakwa mahu membeli tuala.

“Sebaik mangsa membuka pintu, enam lelaki dipercayai rakan suspek menunggu di belakang premis terus meluru masuk.

“Suspek mengeluarkan semua bekalan tuala pelbagai jenis sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lori.

“Malah, suspek mengarahkan mangsa membayar sewa lori dan upah kepada enam lelaki itu sebanyak RM1,300,” katanya.

Abdul Ghani berkata, pihaknya menahan suspek di sebuah premis di Jalan 5/91, Shamelin Perkasa, Cheras, di sini, kelmarin.

“Pemeriksaan dilakukan menemui semula hampir 30,000 tuala pelbagai jenis dilarikan suspek dianggarkan bernilai RM200,000 di dalam premis berkenaan.

“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selama 14 hari bermula 2 hingga 15 April ini mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 5:54 AM