Khairul Najib Asarulah Khan


KEKURANGAN fizikal pada kaki kanan tidak menghalang G Karunagaran, 50, memasang poster dan bendera untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) Parlimen Seremban.

Katanya, kekurangan dirinya itu bukan penghalang untuk dia berbakti kepada parti yang disokongnya sejak berumur 22 tahun.

“Hanya sebelah kaki cacat, anggota lain tidak. Jadi, dengan kudrat yang ada, saya masih boleh memainkan peranan membantu memasang bahan kempen untuk BN.

“Lagi pun Pilihan Raya Umum (PRU) hanya lima tahun sekali, apa salahnya saya berkorban dalam memastikan kemenangan calon parti politik yang saya sokong.

“Tak mengapa apa orang mahu kata. Janji, saya puas dapat membantu calon BN berkempen,” katanya ketika ditemui di Taman Acassia, Sikamat, di sini.

G Karunagaran, 50 yang tempang di kaki kanan gigih memasang bendera Barisan Nasional di Taman Acassia, Sikamat, Seremban. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
G Karunagaran, 50 yang tempang di kaki kanan gigih memasang bendera Barisan Nasional di Taman Acassia, Sikamat, Seremban. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan

Karunagaran yang juga pengusaha bengkel kimpalan berkata, kaki kanannya tempang kerana menghidap penyakit polio ketika berusia empat tahun.

“Ketika itu, kedua-dua kaki tidak boleh digerakkan. Selepas menjalankan rawatan tradisional, kaki kiri saya pulih namun kaki kanan tidak dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti orang normal, cuma pergerakan sahaja agak perlahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 3:29 PM