MUHYIDDIN berucap ketika Ceramah Perdana Harapan Johor Utara di Bakri, Muar. -Foto ADI SAFRI
MUHYIDDIN berucap ketika Ceramah Perdana Harapan Johor Utara di Bakri, Muar. -Foto ADI SAFRI
BERNAMA

AHLI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan dipecat daripada parti, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perlembagaan parti memperuntukkan mana-mana ahlinya yang bertanding tanpa kebenaran parti boleh dipecat.

“Ini satu perkara yang tak boleh kita benarkan kerana mereka sudah mengkhianati perjuangan parti.

“Mereka sudah melanggar disiplin parti, apatah lagi mereka sudah membuat sesuatu yang menimbulkan masalah kepada parti komponen yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah di Bakri, Muar malam tadi.

Beliau ditanya mengenai tindakan Naib Ketua Bahagian PPBM Hang Tuah Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Melaka.

Dilaporkan, Kamarolzaman berbuat demikian selepas kecewa tidak dicalonkan di kawasan berkenaan walaupun dijanjikan oleh pucuk pimpinan.

Kerusi itu diserahkan kepada PKR dan pada PRU-14 ini, DUN Ayer Molek menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Kamarolzaman, Rahmad Mariman (Barisan Nasional), Jantan Abdullah (PAS) dan Farhan Ibrahim @Alias (PKR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 11:00 AM