MOHAMED Azmin. FOTO Arkib NSTP
MOHAMED Azmin. FOTO Arkib NSTP
Iskandar Shah Mohamed dan Siraj Mohd Zaini


MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu turut dicalonkan bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Program Jelajah Harapan Selangor di Stadium Terbuka Kuala Selangor, di Kuala Selangor, malam tadi.

Selain itu, kerusi Parlimen Selayang kekal ditandingi William Leong, R Sivarasa (Sungai Buloh), Wong Chen (Subang) dan Zuraida Kamaruddin (Ampang), manakala penyandang kerusi DUN Sentosa (sebelum ini dikenali sebagai Seri Andalas) Dr Xavier Jayakumar bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Langat.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah pula dicalonkan bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya dan Parlimen Hulu Selangor diwakili oleh Leow Hsiad Hui.

Bagi kerusi DUN Selangor pula, PKR meletakkan hampir semua wakil rakyat mereka yang berjaya di kawasan masing-masing pada PRU-13.

Antara yang diumumkan adalah Amiruddin Shari (Sungai Tua), Suhaimi Shafie (Sungai Kandis), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr Idris Ahmad (Ijok) dan Haniza Mohd Talha (Lembah Jaya).

Sementara itu, DUN Paya Jaras, PKR meletakkan bekas wakil rakyat PAS yang kini bersama parti itu iaitu Mohd Khairuddin Othman dan DUN Pelabuhan Klang yang sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan diwakili Azmizam Zamanhuri.

Antara calon PKR lain di DUN adalah Hilman Idham (Gombak Setia), Rozana Zainal Abidin (Permatang) G Sivamalar (Bukit Melawati), Chua Wei Kiat (Rawang) dan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan).

PKR akan bertanding 10 kerusi Parlimen dan 21 DUN di Selangor pada PRU-14.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 12:42 AM