Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Lebih 100 pekerja warga asing tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran asrama pekerja Stesen Tenaga Jimah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, api dipercayai bermula dari tingkat atas asrama tiga tingkat itu ketika sebahagian besar penghuninya berada di tempat kerja, tidak jauh dari situ.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Razif Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.46 pagi.

Katanya, 20 anggota dengan tiga jentera termasuk dari Balai Bomba Teluk Kemang dan Balai Bomba Sepang bergegas ke lokasi.

Keadaan asrama pekerja warga asing yang  terbakar di Stesen Tenaga Jimah.
Keadaan asrama pekerja warga asing yang terbakar di Stesen Tenaga Jimah.

“Kebakaran berpunca dari tingkat atas yang merebak ke bahagian bawah rumah pekerja yang dibina sementara.

“Kami mengambil masa hampir setengah jam bagi mengawal kebakaran sebelum dapat dipadamkan sepenuhnya jam 12 tengah hari,” katanya.

Menurut Mohd Razif, tiada kemalangan nyawa serta kecederaan dilaporkan dan pihaknya masih menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 6:07 AM