Nur Lela Zulkipli dan Farhana Syed Nokman


KETUA Pegawai Ekskutif (CEO) Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Azhar Ahmad kesal dirinya menjadi mangsa berita palsu oleh individu yang tidak dikenali melalui satu emel layang pada Isnin lalu.

Dalam emel yang dikirim individu dikenali sebagai Abu Seman itu, Azhar dituduh sebagai seorang yang tidak bertanggajawab dalam tugasnya.

“Isi kandungan emel itu memfitnah saya sebagai CEO yang tidak melakukan tugas dengan amanah dan tidak membantu orang Melayu menjalankan perniagaan.

“Emel itu turut menuduh saya sengaja melambatkan permohonan pembiayaan menyebabkan usahawan gulung tikar kerana tiada bantuan pembiayaan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Antara pihak yang turut menerima emel berkenaan adalah barisan kepimpinan negara, pegawai kerajaan, Bank Negara Malaysia, barisan Pengarah PUNB dan kakitangan perbadanan itu.

Azhar berkata, tuduhan tidak berasas itu dikhuatiri menjatuhkan imej PUNB yang selama ini tidak putus membantu golongan Bumiputera untuk menjalankan perniagaan.

“Sejak Mac 2017 sehingga kini, PUNB sudah membantu lebih 380 usahawan membabitkan pinjaman kewangan sebanyak RM125 juta dalam pelbagai bidang peniagaan.

“Malah PUNB mengeluarkan dana sendiri sebanyak RM300 juta untuk membantu pemohon mendapatkan bantuan kewangan.

“Jadi, tuduhan dilemparkan bahawa saya tidak melakukan tugas dengan baik adalah tidak benar sama sekali, malah keutamaan saya adalah ingin membantu seberapa ramai orang Melayu berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Ekoran tuduhan berkenaan, Azhar membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields semalam bagi tujuan siasatan lanjut dan berharap kes berkenaan dapat disiasat dibawah Akta Anti-Berita Tidak Benar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:55 PM
AZHAR (tengah) bersama Pegawai Kanan PUNB, Abdul Jalil Sulaiman (kanan) dan Mohd Ibrahim Ahmad menunjukan report polis berhubung fitnah surat layang terhadapnya. FOTO Amirudin Sahib
AZHAR (tengah) bersama Pegawai Kanan PUNB, Abdul Jalil Sulaiman (kanan) dan Mohd Ibrahim Ahmad menunjukan report polis berhubung fitnah surat layang terhadapnya. FOTO Amirudin Sahib