Siti Nur Mas Erah Amran dan Beatrice Nita Jay


SEKUMPULAN selebriti tempatan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu buli siber dan penyebaran berita palsu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohamed Salleh Said Keruak berkata, kementerian amat berterima kasih atas keprihatinan dan kesungguhan artis dalam melawan buli siber dan penyebaran berita palsu.

“Kita tahu kedua-dua ancaman ini bukan sahaja boleh menjejaskan prestasi malah mampu merosakkan reputasi setiap individu yang terpalit dengan isu-isu sebegini.

“Selain artis, semua lapisan masyarakat sewajarnya bekerjasama menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di KLPAC, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Bhd, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Kempen itu hasil cetusan idea personaliti popular, Neelofa. Antara personaliti yang turut terbabit dalam kempen itu adalah Maya Karin, Joe Flizzow, Kavita Sidhu, Alex Yoong dan Adibah Noor.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tall Order Productions Sdn Bhd yang juga pengarah kempen, Datuk Hans Isaac berkata, kempen berkenaan akan berlangsung bermula hari ini hingga September hadapan.

“Rakan-rakan selebriti akan bersama-sama menggunakan platform media sosial, elektronik dan cetak bagi memastikan kempen ini berjalan lancar.

“Kita akan bawa rakan artis ke sekolah-sekolah menerusi siri jelajah secara berperingkat bagi membangkitkan kesedaran awam berhubung buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

“Apa saja kita lakukan dalam hidup ini, jangan fokus pada yang negatif saja dan paling penting, fikir dulu sebelum muat naik atau komen dalam laman media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 9:00 PM
ANTARA artis yang hadir pada majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosia Akhiri Buli Siber & Penyebaran Maklumat Palsu. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ANTARA artis yang hadir pada majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosia Akhiri Buli Siber & Penyebaran Maklumat Palsu. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman