SENAPANG digunakan suspek untuk menembak kakaknya dalam kejadian di Taman Tunku, Miri, malam tadi. FOTO ihsan polis
SENAPANG digunakan suspek untuk menembak kakaknya dalam kejadian di Taman Tunku, Miri, malam tadi. FOTO ihsan polis
Mohd Rizal Abdullah


LELAKI ‘naik hantu’ dan nekad menembak kakak kandungnya menggunakan senapang patah buatan sendiri dalam kejadian di Taman Tunku, Miri, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa berusia 47 tahun, bagaimanapun terselamat dan hanya cedera di bahagian bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata suspek berusia 36 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk tanpa sebab lalu membelasah mangsa yang baru pulang ke rumah dari majlis kenduri.

Menurutnya, suspek kemudiannya melepaskan tembakan di dalam rumah mengakibatkan mangsa melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek mengejar mangsa dan nekad melepaskan tembakan ke arah belakang mangsa sebelum mangsa rebah.

“Beberapa anggota polis bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian itu dan menahan suspek di rumah berkenaan.

“Mangsa cedera di bahu kanan akibat terkena tembakan menggunakan peluru penabur itu sebelum dikejarkan ke Hospital Miri dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, selaras senapang patah buatan sendiri turut yang digunakan suspek turut dirampas.

Menurutnya, suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Difahamkan, suspek yang juga penganggur itu di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:06 PM