Mazini (tengah) ke rumah individu yang meminta bantuannya untuk kes perceraian. FOTO Nazdy Harun
Mazini (tengah) ke rumah individu yang meminta bantuannya untuk kes perceraian. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

WALAUPUN tidak mempunyai segulung ijazah dalam bidang undang-undang namun seorang ibu tunggal mampu menyediakan kertas perundangan membabitkan kes berkaitan mahkamah syariah sejak 16 tahun lalu.

Pengalaman yang ditimba Mazini Abdullah, 55, dari Kampung Banggol Pauh, di Kuala Nerus ketika menuntut perceraian dan nafkah anak dengan bekas suaminya pada tahun 2002 membolehkannya mengumpul pelbagai ilmu berkaitan perundangan.

Menurutnya, selain melalui pengalaman dia turut mendapat tunjuk ajar daripada tenaga terlatih dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dalam selok belok menyediakan kertas perundangan bagi membantu golongan wanita yang memerlukan khidmat berkaitan kes-kes di mahkamah syariah.

"Saya tidak meletakkan bayaran malah bantuan ini dihulurkan dengan seikhlas hati dan ada kalanya duit sendiri yang dibelanjakan bagi membeli pelbagai peralatan untuk digunakan dalam menyediakan kertas perundangan sebelum dibawa ke mahkamah.

"Pernah saya tidak tidur malam mengerah idea memikirkan cara atau ayat-ayat yang perlu ditulis bagi menguatkan hujah sesuatu kes dan ia bukan tugas yang mudah bagi seorang wanita yang berusia seperti saya.

"Selain itu untuk memudahkan individu terbabit, saya akan ke rumah mereka untuk menyiapkan kertas perundangan sebelum ke mahkamah," katanya yang mempunyai lima cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya.

Menurutnya, dia pernah mengheret bekas suaminya ke mahkamah kerana beberapa tuntutan tidak diendahkan dan melalui perundangan akhirnya dia berjaya 'memenjarakan' bekas suaminya itu sebanyak dua kali pada tahun 2012 dan 2013.

Katanya, bantuan yang dihulurkan kepada wanita bukan hanya sekadar kes perceraian malah turut membabitkan tuntutan harta pusaka namun sebelum kertas perundangan disediakan dia perlu menjalani runding cara dengan pihak yang ingin menggunakan khidmatnya.

Mazini berkata, ia bertujuan untuk mengetahui jalan cerita sebenar selain memperoleh dokumen-dokumen penting untuk rujukan mahkamah.

"Memandangkan kerja ini dilakukan seikhlas hati maka saya perlu mencari sumber kewangan lain bagi menyara kehidupan dan juga kos digunakan untuk menyediakan kertas perundangan termasuk perbelanjaan petrol untuk ke rumah individu berkenaan.

"Justeru, saya kini menjalankan kerja urutan wanita selepas bersalin dan urutan terapi saraf kronik bagi menambah pendapatan dan sepanjang berkecimpung dalam bidang penyediaan kertas perundangan ini sudah lebih 200 individu saya bantu dalam pelbagai kes di mahkamah syariah.

Menurutnya, melalui kerja yang dilakukan itu dianggapnya sebagai 'saham akhirat' kerana dia membantu sedaya mungkin dan tidak mengenakan sebarang bayaran malah wangnya pula dibelanjakan untuk membantu individu dalam menyiapkan kertas perundangan.

Menceritakan pengalaman, Mazini berkata, kes yang tidak dapat dilupakan dan mencuit hati apabila ada seorang wanita datang meminta bantuan daripadanya untuk menyiapkan kertas berkaitan perceraian namun ketika proses kertas sedang disiapkan wanita itu menghilangkan diri.

Katanya, akibat terlalu lama dia kemudian menghubungi wanita itu untuk mendapatkan kepastian namun sebaik menerima jawapan wanita itu membatalkan hasrat bercerai dan sudah memperoleh seorang lagi anak membuatkannya tersenyum sendirian.

Menurut Mazini, pelbagai suka duka dilalui dalam membantu golongan wanita namun dia bersyukur kerana YPK banyak membantu dalam mengasah bakatnya untuk menyediakan kertas mengikut lunas perundangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:55 PM