MESIN judi dalam  premis yang diserbu, kelmarin.
MESIN judi dalam premis yang diserbu, kelmarin.
Safeek Affendy Razali & Mohd Hasbi Sidek

Ampang: Guna kad tambah nilai mengandungi isi di dalamnya antara RM10 dan RM100 untuk bertaruh pada mesin judi.

Itu antara modus operandi terbaru dua premis judi yang diserbu Unit Pencegahan Perjudian (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Jalan Pandan 2/3, Pandan Jaya di sini, petang kelmarin.

Serbuan serentak yang bermula jam 6 petang itu turut menahan 14 pelanggan yang leka bermain judi di premis yang dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun ini.

‎Difahamkan, premis berkenaan mengelak daripada menggunakan wang tunai sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa bahawa operasi mereka tidak membabitkan perjudian.

‎ Pelanggan menukar wang kepada kad tambah nilai sama ada RM10, RM20, RM50 atau RM100 di kaunter terlebih dahulu.

Malah, pemilik premis judi turut menawarkan hadiah melalui mata dikumpulkan kaki judi bagi memenangi patung, gajet, barang elektrik dan basikal.

Taktik itu cuba memperlihatkan seolah-olah premis berkenaan adalah pusat hiburan keluarga.

SEBAHAGIAN pengunjung yang ditahan di dalam serbuan.
SEBAHAGIAN pengunjung yang ditahan di dalam serbuan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata, serbuan dilakukan dua pegawai dan tujuh anggota D7A selepas menerima maklumat awam.

“Serbuan pertama dilakukan di tingkat bawah sebuah premis rumah kedai yang menjalankan operasi pusat judi mesin simulator.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat empat pelanggan lelaki tempatan dan dua warga asing. Seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Indonesia disyaki pekerja premis turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas 18 mesin simulator kotak, tiga mesin simulator meja, lima cip tambah nilai, 40 kad tambah nilai dan wang tunai bernilai RM2,600.

Menurut beliau, serbuan di premis kedua yang terletak di jalan sama berjaya merampas 18 mesin simulator kotak, empat mesin simulator meja, empat cip tambah nilai, 40 kad tambah nilai dan wang tunai bernilai RM230.

ANTARA hadiah yang ditawarkan seolah-olah premis terbabit pusat hiburan keluarga.
ANTARA hadiah yang ditawarkan seolah-olah premis terbabit pusat hiburan keluarga.

“Di premis ini kami menahan dua pekerja warga asing, tujuh pelanggan warga Indonesia dan seorang pelanggan lelaki warga tempatan.

“Premis berkenaan dikesan dijadikan pusat perjudian mesin simulator yang menyalahgunakan Lesen Permainan Interaktif (KPI) dikeluarkan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:48 AM