Lim bangun mengganggu Noh pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNBBC TV
Lim bangun mengganggu Noh pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNBBC TV
Mohd Anwar Patho Rohman; Meor Riduwan Meor Ahmad; Hidir Reduan; Luqman Arif Abdul Karim dan Nor Ain Mohamed Radhi

“Saya tidak nampak Gelang Patah,” tegas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau menjawab demikian secara sinis setelah Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) menggunakan peraturan mesyuarat dewan untuk memohon Pandikar Amin mengarahkan Lim Kit Siang keluar dari dewan mengikut Peraturan 44 (5).

Sejurus selepas itu, bergema panggilan ‘hantu’ yang merujuk kepada Lim kerana berdegil menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini walaupun digantung selama enam bulan mulai semalam.

Che Mohamad Zulkifly menyifatkan kehadiran Lim sebagai menghina dewan kerana ingkar perintah penggantungan.

"Semalam, Gelang Patah sudah digantung enam bulan dari persidangan tetapi ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul persempadanan semula, Gelang Patah berada dalam dewan.

"Tindakan Gelang Patah sebagai orang lama dan berusia 69 tahun ini tidak senonoh dan menghina dewan.

"Dengan ini saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (5) meminta Tan Sri Yang di-Pertua mengarahkan Gelang Patah keluar dari dewan yang mulia ini," katanya.

Kekecohan bermula ketika Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar ingin membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018.

Lim kemudian bangun mengganggu Noh daripada meneruskan pembentangan dengan bertanya kepada Pandikar Amin sama ada beliau digantung sehari atau enam bulan.

Noh berkata, Lim sudah 23 tahun berada di Dewan Rakyat dan suaranya biasa didengari namun orangnya tidak kelihatan.

Budiman kemudian bangun mencelah: "Ada suara hantu." katanya.

Menyifatkan wakil rakyat pembangkang itu tidak faham ‘bahasa', Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang mengaku akan keluar dari dewan jika diarah berbuat demikian.

Dewan Rakyat terus panas dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertikam lidah dengan Noh bagi mempertahan Lim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 6:53 PM