RAZALI
RAZALI
Syalikha Sazili

Kuala Lumpur: Sistem Haji Pintar yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi bagi jemaah haji dan umrah mampu memberi kemudahan menjalani ibadah serta kepuasan dengan pelbagai inisiatif dibangunkan kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pihaknya memberi penghormatan terhadap usaha terbabit dan pendekatan kerajaan Arab Saudi demi kepentingan jemaah sangat dialu-alukan.

Katanya, ramai pihak menanti penambahbaikan terhadap segala aspek dan ini perkhabaran menggembirakan.

“Peningkatan perkhidmatan haji dan umrah ini sering ditunggu-tunggu sejak sekian lama dan Alhamdulillah ia dinaik taraf dengan pelbagai teknologi baru.

“Ini petanda baik apabila kerajaan Arab memberi perhatian khusus terhadap ibadah haji dan umrah, sekali gus bagus kepada industri terbabit,” katanya, semalam.

Kelmarin dalam satu wawancara eksklusif NSTP bersama Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah Suliman Mashat, beliau menyatakan mengenai kepelbagaian inisiatif kerajaannya termasuk Smart Haj atau Haji Pintar.

Beliau yang juga Pemangku Menteri Haji dan Umrah, berkata, menerusi Haji Pintar masa menunggu dipendekkan dan mulai tahun ini, beberapa proses baru dilaksanakan.

Ini termasuk sistem berteknologi tinggi terkini bagi pelepasan imigresen di lapangan terbang yang mengurangkan masa menunggu daripada dua jam kepada 10 minit.

Manakala pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di pintu elektronik membolehkan jemaah menaiki bas serta kereta api ke hotel.

Selain itu, lapangan terbang baru Jeddah dibuka selepas Ramadan manakala kereta api berkelajuan tinggi Ekspres Haramain menghubungkan Madinah dan Makkah dalam tempoh kurang dua jam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu berkata, usaha kerajaan Arab Saudi ini membantu dan melancarkan proses ibadah jutaaan jemaah dari seluruh dunia.

Ini mungkin rentetan program perintis membabit Malaysia dan beberapa negara luar bagi sistem e-Haj, yang melancarkan proses ibadah haji bagi pengendali dan jemaah.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah berpendapat, sudah tiba masanya sistem lama dikemas kini kepada baru dan berteknologi tinggi bagi menjimat masa dan tenaga jemaah haji dan umrah.

Sepanjang tempoh 40 tahun beliau berkhidmat, jelasnya ini sangat dialu-alukan.

“Saya lihat ini kemajuan dan perkembangan baru, selepas ini masyarakat Islam tidak lagi dipandang rendah kerana kelemahan sistem,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:06 AM