ANTARA ladang ketum yang pernah ditemui pihak berkuasa.
ANTARA ladang ketum yang pernah ditemui pihak berkuasa.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kewujudan ladang pokok ketum tersorok di kawasan pedalaman, ladang getah dan hutan sekitar negeri Perak dan Kedah dikenal pasti menjadi sumber utama bekalan daun ketum yang diseludup secara besar-besaran ke negara jiran Thailand.

Sumber Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkata, ladang skala besar ini dimiliki sindiket atau individu yang mampu menjana keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Menurutnya, keuntungan tinggi ini mampu diperoleh berikutan permintaan tinggi daripada sindiket di Thailand yang sanggup membayar sehingga RM100 bagi setiap sekilogram daun ketum diseludup.

Harga ditawarkan ini jauh lebih menarik berbanding harga sekitar RM10 hingga RM35 sekilogram untuk pasaran tempatan.

“Kewujudan ladang ini dibuktikan apabila Pasukan Penguatkuasaan Utama Tindakan Taktikal Khas dan Siasatan (STRIKE) AADK sebelum ini pernah menemui ladang pokok ketum di Changkat Lada, Kampung Gajah, Sungai Siput Utara, Seberang Perak, Teluk Intan, Kampung Titi Tampang di Perak selain ladang ketum di Padang Besar, Padang Terap, Kedah dan beberapa lokasi di Perlis,” katanya.

Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Zainudin Abdullah yang dihubungi mengakui pihaknya sebelum ini pernah menemui ladang ketum tersembunyi ketika operasi dijalankan.

DAUN ketum yang dirampas.
DAUN ketum yang dirampas.

“Kami turut mengumpul profil maklumat (saiz ladang dan jumlah pokok) ladang ketum dijumpai serta memantau tindakan yang diambil terhadap ladang ketum ini,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, AADK tidak menguatkuasakan Akta Racun 1952 bagi mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki daun ketum atau air ketum.

“Dalam operasi bersepadu atau operasi AADK, kesalahan memiliki daun ketum atau air ketum akan diserahkan kepada polis untuk diambil tindakan.

“Operasi dilakukan AADK Daerah atau Pasukan STRIKE terhadap penagih dadah, seringkali kami dapat mengesan penyalahgunaan air ketum dalam kalangan penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, jika penagih dadah didapati positif mengambil dadah, AADK akan mengambil tindakan mengikut seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Bagi penagih dadah yang negatif saringan dadah atau penagih air ketum sahaja, pihak AADK akan merekod maklumat mereka serta meletakkan mereka dalam program intervensi awal di Pejabat AADK atau di Pusat Perkhidmatan, Rawatan dan Pemulihan (CCSC),” katanya.

Kewujudan ladang ketum di negara ini turut dikaitkan dengan beberapa siri rampasan besar antaranya kejayaan pihak polis Sempadan dan Pejabat Perhutanan di selatan Thailand merampas 1.1 tan daun ketum di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran negeri Perlis pada 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 11:15 AM