SULTAN Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah (kanan) berkenan menerima mengadap Dr Afifi al-Akiti (tiga dari kiri). Turut hadir, Azmi (dua dari kiri) dan Mohamed Ghazali (kiri) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan Royal Press Office.
SULTAN Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah (kanan) berkenan menerima mengadap Dr Afifi al-Akiti (tiga dari kiri). Turut hadir, Azmi (dua dari kiri) dan Mohamed Ghazali (kiri) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan Royal Press Office.
Junita Mat Rasid


DEWAN Galeri Johor dicadang dibangunkan di Universiti Oxford seterusnya menaikkan serta memperkenalkan nama Johor di seluruh dunia.

Cadangan itu dibincangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ketika berkenan menerima mengadap pemikir Islam, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Fellow di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai perkembangan dunia Islam dan isu semasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff.

Menerusi entri terbaru dalam Facebook (FB) rasmi Sultan Ibrahim, baginda memaklumkan dalam pertemuan itu turut dibincangkan cadangan untuk membangunkan sebuah dewan yang akan diberi nama Galeri Johor di Universiti Oxford.

“Bagaimanapun, cadangan pembangunan masih di peringkat awal kerana banyak perkara perlu diperhalusi dan dikaji sebelum ia dapat dilaksanakan. “Cadangan pembangunan Galeri Johor di Oxford itu secara langsung akan turut menaikkan serta memperkenalkan nama negeri ini di mata dunia,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 7:27 PM