Rosli Zakaria dan Hanneeyzah Bariah Baharin


KEJAYAAN Ekspo Terengganu 2018 yang sehingga kini mencatatkan pengunjung lebih 500,000 pada hari kedua terakhir penganjurannya hari ini, mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memberi markah tertinggi kepada kerajaan negeri.

Najib berkata, jumlah pengunjung yang di luar jangkaan dan kandungan paparan yang dipersembahkan kepada rakyat serta kejayaan ekspo itu menyuntik rangsangan dan inspirasi melayakkan kerajaan Terengganu selaku penganjur diberi markah tertinggi.

Beliau mengakui turut teruja dan bersemangat melihat kejayaan Ekspo Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa, dengan menyaksikan 45 peratus daripada keseluruhan lebih 1.25 juta rakyat Terengganu melawat ekspo itu untuk mendapatkan pelbagai maklumat kejayaan kerajaan mentadbir negeri ini.

ORANG ramai berkunjung ke Ekspo Terengganu 2018. FOTO Ghazali Kori
ORANG ramai berkunjung ke Ekspo Terengganu 2018. FOTO Ghazali Kori

"Apabila kita buat satu ekspo, ada beberapa kayu ukur untuk tentukan sama ada ekspo itu berjaya dapat sambutan atau sebaliknya.

"Ujian pertama ialah bilangan pengunjung. Kalau hendak dikira yang hadir, saya boleh beri markah yang sangat tinggi kerana yang hadir di luar jangkaan.

"Kedua ialah daripada segi paparan atau pengisiannya, sama ada ada kandungan dalam sebuah ekspo itu penuhi kehendak penganjur dan sampaikan mesej jelas serta dapat difahami serta dihayati oleh rakyat dan pengunjung ekspo.

"Kalau kita hitung dari segi pengisiannya, walaupun saya tidak dapat lihat semuanya, apa yang saya lihat itu, saya beri markah tertinggi kepada kerajaan Terengganu kerana apa saya lihat jelas paparkan pencapaian kejayaan kerajaan Terengganu.

"Ukuran ketiga ialah sama ada sebuah ekspo itu memberi rangsangan dan inspirasi pada mereka yang melawatnya supaya dalam hati kita akan timbul satu semangat baru, kesungguhan dan bersama-sama dalam perjuangan hala tuju baru dan Transformasi Terengganu Baharu (TTB). Ini juga saya beri markah tinggi," katanya.

NAJIB bersama Ahmad Razif (kiri) bermesra dengan pembeli dan peniaga di tapak Jualan Sentuhan Rakyat sempena Ekspo Terengganu 2018. FOTO Ghazali Kori
NAJIB bersama Ahmad Razif (kiri) bermesra dengan pembeli dan peniaga di tapak Jualan Sentuhan Rakyat sempena Ekspo Terengganu 2018. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Ekspo Terengganu 2018 di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Perdana Menteri berkata, beliau juga dapat melihat dengan jelas apa perancangan dan gambaran hala tuju kerajaan negeri dan ia bukan hanya satu slogan, tetapi mempunyai pengisian yang amat jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 7:20 PM