LELAKI yang menerima rawatan disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI yang menerima rawatan disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI dipercayai warga asing yang bertarung nyawa sejak lebih sebulan lalu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Selayang, kelmarin.

Mangsa, 40-an, dipercayai dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Kilometer 10 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Gombak pada 4 pagi, 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa meninggal dunia pada 11.10 pagi daripada pihak hospital.

"Mangsa dijadualkan menjalani pembedahan, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya.

"Justeru, polis sedang mengesan waris mangsa untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Dalam kemalangan itu, mangsa dikatakan melintas jalan dari lorong kiri ke pembahagi jalan sebelum dia berundur bagi memanjat pembahagi jalan untuk ke laluan bersebelahan.

Ketika itu, sebuah Perodua Alza dipandu lelaki, 24, yang berada di laluan paling kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Pemeriksaan terhadap mangsa tidak menemui dokumen pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 5:48 PM