KEADAAN kereta yang terbakar sehingga mengakibatkan api merebak ke bahagian bukit di tepi lebuh raya. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN kereta yang terbakar sehingga mengakibatkan api merebak ke bahagian bukit di tepi lebuh raya. FOTO Ihsan JBPM
Balqis Jazimah Zahari


KEBAKARAN sebuah kereta di Kilometer 266.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh, merebak hingga menyebabkan kawasan bukit seluas dua hektar berhampiran turut terbakar, hari ini.

Anggota bomba yang dikerahkan ke lokasi bukan saja perlu memadam kebakaran kereta, malah kawasan bukit yang terbakar berikutan api merebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya Mohd Zamri Awang Long berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.16 petang mengenai kebakaran kereta Toyata Camry.

"Kesan daripada kebakaran kereta itu mengakibatkan api turut merebak ke kawasan bukit berhampiran lebuh raya.

"Api merebak bermula dari bukit bahagian hadapan lebuh raya sehingga ke bahagian belakang bukit berdekatan bangunan Jabatan Audit Negara," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut meminta bantuan jentera dari BBP Ipoh ke lokasi bagi membantu mengawal api kerana kawasan kebakaran agak luas.

Katanya, kerja-kerja pemadaman dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mengawal kebakaran di kedua-dua belah bahagian bukit yang terbakar.

"Pasukan bomba daripada BBP Meru Raya melakukan kerja pemadaman kebakaran di bahagian lebuh raya.

"Manakala anggota dari BBP Ipoh bergabung dengan Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru melakukan kerja pemadaman api di bahagian belakang bukit," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta itu terbakar sebelum berhenti di tepi lebuh raya berkenaan.

"Cuaca panas menjadi salah satu faktor menyebabkan api pada kereta merebak dengan cepat sehingga ke bahagian bukit," katanya.

Katanya, keseluruhan operasi pemadaman tamat dalam tempoh hampir tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:24 PM