NURUL Khairulnisa, 19, (duduk di kerusi) sewaktu menunggu jenayah ayahnya Azizan Desa disolatkan di Surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana. FOTO Nor Farhani Che Ad
NURUL Khairulnisa, 19, (duduk di kerusi) sewaktu menunggu jenayah ayahnya Azizan Desa disolatkan di Surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


MANGSA kemalangan di Gerik, Ahad lalu, Nurul Khairulnisa Azizan lebih banyak mendiamkan diri ketika jenazah bapanya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Rhaudatul Solihin di Amanjaya, Sungai Petani, hari ini, untuk disemadikan.

Sesekali, remaja berusia 19 tahun itu kelihatan menitiskan air mata sambil merenung ke arah keranda bapanya, Azizan Desa, 60, yang dibawa keluar dari Surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana selepas selesai solat jenazah 11 pagi tadi.

Kemalangan itu turut meragut nyawa ibunya, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan adik lelaki, Muhammad Khairul Khawrizmie, 17.

Abang sulungnya, Mohd Rohaizad, 32, berkata, Nurul Khairulnisa tidak banyak bercakap sejak tragedi itu.

“Adik saya tidak banyak bercakap sejak hari kejadian, berkemungkinan dia masih trauma dengan apa yang berlaku selepas kehilangan ibu dan adik dalam sekelip mata.

“Dia sempat memberitahu sewaktu kejadian berlaku dia tidur, selebihnya dia tidak banyak bercakap dan apabila ditanya dia hanya mendiamkan diri,” katanya.

Mohd Rohaizad turut cuba bertanya sesuatu ketika jenazah bapa mereka berada di surau tetapi Nurul Khairulnisa hanya tunduk dan berdiam diri.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan surau itu apabila sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga hadir bagi mengiringi jenazah.

Dalam pada itu, Mohd Rohaizad berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian bapanya walaupun berharap Allahyarham akan pulih dari kecederaan yang dialaminya.

Katanya, arwah yang juga peniaga nasi kandar meninggal dunia pada 6.45 petang semalam di sisi ahli keluarga.

Menurutnya, pada hari kemalangan, arwah bapanya masih sedar, namun terpaksa ditidurkan oleh doktor kerana kecederaan dalaman yang dialami.

“Kami difahamkan arwah mengalami luka pada hati dan pendarahan pada paru-paru. Arwah meninggal disebabkan akibat kecederaan parah pada organ itu,” katanya.

Dalam kemalangan di Kilometer 45.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, Ahad lalu, isteri Azizan, Che Wan dan anak lelaki mereka Muhammad Khairul, maut di tempat kejadian.

Arwah Azizan, adalah mangsa kelima yang meninggal dunia susulan nahas yang berlaku pada 1 tengah hari membabitkan Perodua Kenari, Audi dan Nissan Frontier.

Dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu Nissan Frontier, Rosli Zakaria, 54, dan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) Muhamad Syafik, 22.

Berita berkaitan

'Ayah, pergi jua akhirnya...'

[UPDATE] Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Dua beranak satu liang lahad

Pelik ibu bungkus makanan setiap hari

[UPDATE] 4 maut, 7 cedera dekat Tasik Banding

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 3:51 PM