Muhammad Apendy Issahak


“SEBAIK berjaya keluar dari kereta saya terus ke Nissan Frontier ayah dan lihat ayah dalam keadaan sedar namun mengerang kesakitan.

“Orang ramai bantu keluarkan ayah dari kenderaan dan saya sempat ajar dia mengucap kalimah syahadah sebelum ayah menyebut Allah... Allah.. beberapa kali dan menghembuskan nafas terakhir,” kata Muhamad Aiman Rosli, 19.

Muhamad Aiman, anak Rosli Zakaria, 54, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 45.4, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik hari ini.

Kemalangan jam 1 tengah hari itu membabitkan sebuah Perodua Kenari, Nissan Frontier dan sebuah Audi yang turut mengorbankan tiga mangsa lain manakala tujuh lagi cedera termasuk dua parah.

Tiga lagi korban adalah Mohd Syafik Rosli, 22, anak kedua Rosli yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dan dua penumpang Audi, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan anaknya Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17.

Muhamad Aiman berkata, ketika kejadian berlaku dia bersama ibu bapa dan beberapa ahli keluarga lain berkonvoi dengan menaiki lima kenderaan selepas selesai menziarah keluarga yang sakit di Pulau Pinang.

“Kami ke Pulau Pinang pada Jumaat lalu dan bertolak pulang hari ini kira-kira jam 9.30 pagi di mana ayah dan ibu serta dua adik-beradik saya menaiki Frontier dipandu ayah.

“Saya tiga beradik pula menaiki Kenari yang dipandu kakak sulung dengan saya duduk di bahagian penumpang hadapan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik hari ini.

(Gambar kanan) Muhd Rohaizad (kanan) abang kepada Muhammad Khairul Khawrizmie yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli mengangkat jenazah adik beliau di Unit Forensik Hospital Gerik. FOTO Effendy Rashid
(Gambar kanan) Muhd Rohaizad (kanan) abang kepada Muhammad Khairul Khawrizmie yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli mengangkat jenazah adik beliau di Unit Forensik Hospital Gerik. FOTO Effendy Rashid

Menceritakan kembali tragedi meragut nyawa bapa dan abangnya itu, Muhamad Aiman berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta Kenari dinaikinya dirempuh pada bahagian tepi hingga mengakibatkan kereta dinaiki berpusing beberapa kali.

“Kereta Audi itu merempuh Kenari kami sebelum merempuh pula Frontier dinaiki ayah dan ibu di belakang secara berdepan.

“Ayah terhentak pada stereng, manakala ibu yang duduk di depan terperosok di lantai kereta dan tersepit,” katanya yang juga anak keempat daripada enam adik-beradik.

Menurutnya, ayah dan adiknya dikeluarkan orang ramai manakala ibunya yang cedera parah dikeluarkan pasukan bomba berikutan tersepit.

“Ibu kini dirawat di Hospital Taiping susulan patah bahu dan peha, manakala jenazah ayah dan abang akan dikebumikan di Kampung Changgai Pasir Putih, Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 9:59 PM