NAJIB beramah mesra dengan Lim Beng Hock, 86, yang juga orang kurang upaya (OKU) pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan MIEC Langkawi, malam ini. FOTO Shahrizal Md Noor
NAJIB beramah mesra dengan Lim Beng Hock, 86, yang juga orang kurang upaya (OKU) pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan MIEC Langkawi, malam ini. FOTO Shahrizal Md Noor
Adie Suri Zulkefli dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Aizat Sharif


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan peruntukan besar bagi menaik taraf sistem bekalan air di Pulau Langkawi untuk jangka masa panjang, esok.

Beliau juga berikrar untuk membawa lebih banyak pembangunan bagi merealisasikan potensi besar pulau peranginan itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Najib turut memberi jaminan kepada 22 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili komuniti Cina di Langkawi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) komited meningkatkan infrastruktur awam untuk rakyat dan pelancong di pulau itu.

Beliau juga bersetuju melantik wakil daripada komuniti Cina di pulau itu untuk menjadi Ahli Lembanga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Najib berkata, Langkawi mempunyai potensi untuk dibawa ke tahap pembangunan lebih tinggi dan banyak sudah berubah sejak diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai.

"Saya ingin lihat Langkawi terus maju sebagai destinasi pelancongan pertama di rantau ini di mana Blueprint Pelancongan Langkawi 2.0 sudah dilancarkan dan saya meluluskan peruntukan untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Saya juga berusaha mendapatkan penerbangan terus dari China ke Langkawi di mana sebelum ini sudah melancarkan penerbangan AirAsia terus dari China ke Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama masyarakat Tionghua Langkawi sempena Tahun Baru Cina di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), malam ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad, Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan.

Mnurut Najib, beliau juga membawa hotel bertaraf antarabangsa ke pulau itu kerana apabila dapat menarik pelancong yang memiliki kemampuan tinggi untuk membeli-belah.

"Malah, ia sudah tentu memberi faedah kepada pengusaha seperti penjual barang, perkhidmatan, restoran termasuk hotel dengan kehadiran pelancong ini," katanya.

Beliau menegaskan tidak melupakan projek-projek asas untuk rakyat yang mesti diteruskan termasuk peruntukan besar menyelesaikan bekalan air yang akan diumumkan esok.

"Saya juga melancarkan dua projek rumah mampu milik untuk keperluan perumahan kepada rakyat di pulau ini di mana saya yakin apa yang diusahakan itu, Langkawi akan terus mempunyai masa depan cerah.

"Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membangunkan Langkawi dan soal masa depan pulau ini tidak boleh terjamin sekiranya tidak terus memilih Ahli Parlimen BN di Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 11:13 PM