MANGSA banjir mendaftar di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan Jaya, Kuching, hari ini. Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir (foto kecil). FOTO Ihsan JPBN
MANGSA banjir mendaftar di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan Jaya, Kuching, hari ini. Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir (foto kecil). FOTO Ihsan JPBN
Mohd Roji Kawi


HUJAN berterusan sejak tiga hari lalu memaksa 320 penduduk membabitkan 68 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir di negeri ini, hari ini.

Daripada jumlah itu, Kuching mencatat jumlah paling ramai dengan 304 mangsa daripada 63 keluarga.

Mereka ditempatkan di PPS surau Ar Rahman Kampung Sungai Batu membabitkan 35 mangsa daripada tujuh keluarga, Masjid Darul Mustaqin, Kampung Buntal seramai 125 mangsa daripada 20 keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya menempatkan seramai 121 mangsa daripada 31 keluarga.

Di Bahagian Kota Samarahan, satu PPS dibuka sehingga jam 7 pagi ini iaitu di Dewan Pembangunan Sebuyau yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Di Bahagian Serian pula, seramai 16 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Betong Kenawit.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, semua pusat pemindahan sementara itu dibuka mulai jam 1.40 petang semalam hingga 5.30 pagi ini.

"Pemantauan rapi sedang dilaksanakan di semua kawasan berisiko banjir di seluruh negeri dan arahan berpindah akan dikeluarkan apabila keadaan banjir didapati mencapai tahap bahaya.

"Justeru, JPBN mengharapkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah atas faktor keselamatan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning (waspada) di negeri ini, hari ini.

Ia berikutan hujan lebat dijangka berlaku di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Selangau dan Mukah yang diramal berlarutan hingga esok.

Pemantauan di enam stesen telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mendapati hanya Stesen Long Panai di Miri menunjukkan penurunan.

Stesen Samarahan Asajaya Water Intake, Batu Kitang di Kuching dan Mukah Dalat Water Work pula dicatat meningkat, manakala Stesen Batu Gong di Serian dan Marudi di Miri pula mendatar.

Sementara itu, air pasang besar dengan ketinggian mencapai 6.1 meter dijadual berlaku pada 8 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 10:05 AM