WARGA asing memenuhi Jalan Silang, Kuala Lumpur sempena cuti  Hari Wilayah Persekutuan.
WARGA asing memenuhi Jalan Silang, Kuala Lumpur sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Macam-macam negara ada, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Filipina, Vietnam dan segelintir pelancong Eropah membanjiri beberapa lokasi tumpuan di ibu kota sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan, semalam.

Jalan Tun Tan Siew atau lebih dikenali sebagai Jalan Silang antara pilihan ratusan warga asing selain Jalan Petaling, Pasar Seni dan pusat beli-belah Kota Raya.

Tinjauan Harian Metro mendapati lokasi berkenaan seolah-olah ‘ditawan’ warga asing berkenaan apabila mereka dilihat memenuhi kedai, gerai makan dan butik pakaian di kawasan terbabit bagi menghabiskan cuti masing-masing.

Bukan itu saja, aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan juga dijalankan warga asing dipercayai pekerja yang digajikan pemilik bagi menarik pelanggan dalam kalangan warga negara masing-masing.

Malah, ada kedai yang menjual barangan dan makanan dari negara berkenaan selain terdapat premis kiriman wang berlesen yang memudahkan urusan mereka di situ.

Difahamkan, segelintir daripada warga asing itu sanggup datang dari luar Kuala Lumpur seperti Rawang dan Sungai Buloh untuk bersiar-siar selain berjumpa rakan senegara.

Seorang warga Nepal yang dikenali sebagai Anuradha berkata, dia memasuki negara ini sejak lima tahun lalu dan bekerja di sebuah kilang alat ganti kenderaan di Rawang.

Dia yang fasih berbahasa Melayu berkata, datang ke ibu kota untuk menghabiskan hari cuti bersama rakan berikutan tidak banyak aktiviti dapat dilakukan di kawasan tempat tinggalnya di Rawang.

“Kebetulan, saya juga berjumpa rakan yang kali terakhir ditemui dua tahun lalu iaitu ketika kami sama-sama bekerja kilang di Rawang, tapi kini dia sudah berpindah dan bekerja di tempat lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 5:28 AM