Tambahan helikopter untuk membawa pelajar Orang Asli di Gua Musang. FOTO/ Ramli Ibrahim
Tambahan helikopter untuk membawa pelajar Orang Asli di Gua Musang. FOTO/ Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah sebuah lagi helikopter bagi membawa keluar baki pelajar Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang yang masih belum melapor diri ke sekolah mereka, hari ini.

Operasi itu sudah dimulakan dua hari lalu membabitkan dua helikopter jenis Agusta AW139 dan Agusta 109E.

Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, pihaknya menambah sebuah lagi pesawat menjadikan tiga keseluruhannya pada hari terakhir disebabkan bilangan pelajar Orang Asli yang bertambah.

“Tambahan ini mampu memuatkan lebih 20 pelajar untuk setiap penerbangan dan dijangka mempercepatkan proses mengangkut keseluruhan 79 orang di Pos Gob.

“Operasi bermula 10 pagi tadi dan fokus kepada pos itu saja. Dua hari lalu kami sudah bawa keluar 193 pelajar di Pos Balar, Belatim dan Bihai.

“Ia membabitkan 29 penerbangan daripada kedua-duanya," katanya ketika ditemui di padang sivik, Gua Musang, hari ini.

Cik Hamdan turut mengulas penerbangan Agusta 109E untuk mengambil lima pelajar di Pos Belatim, 4.45 petang semalam yang terganggu disebabkan hujan lebat dan berangin.

“Juruterbang iaitu Penguasa Kanan Bomba 1 Roslan Aziz terpaksa naikkan pesawat segera dalam keadaan helikopter bergoncang kuat disebabkan angin kencang dan hujan.

“Namun tiada kejadian tidak diingini berlaku dan helikopter selamat mendarat pada 5.30 petang di padang sivik. Operasi ditangguhkan sejurus kemudian,” katanya.

Berita berkaitan

Dua helikopter angkut 242 pelajar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 1:25 PM