Mohd Sharumnisham Shahbudin


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang 4.9 meter yang kekenyangan selepas menelan seekor kambing dalam kejadian di Kampung Padung, Bukit Kayu Hitam semalam.

Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.35 malam daripada penduduk memaklumkan seekor ular sawa berada berhampiran kandang kambingnya.

Katanya, sepasukan empat anggota diketuai Pegawai Operasi Sajiri Kassim bergegas ke lokasi dan mendapati ular berkenaan sedang berlingkar berhampiran kandang milik pengadu, Hassan Dollah, 62, dan dipercayai menelan seekor kambing.

"Ular seberat 50 kilogram itu dipercayai menunggu masa untuk menelan kambing lain dan APM mengambil masa hampir sejam untuk menangkapnya memandangkan saiznya yang besar," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Katanya, ular sawa batik itu yang terbesar pernah ditangkap pihaknya dan dibawa pulang ke Pejabat APM Kubang Pasu bagi diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:37 PM
PEGAWAI APM, Kamalruzamal (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram yang ditangkap mereka. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
PEGAWAI APM, Kamalruzamal (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram yang ditangkap mereka. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin