Subramaniam bergambar bersama penerima-penerima sumbangan ketika majlis penyerahan cek peruntukan khas kepada tujuh buah sekolah SJKT sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Subramaniam bergambar bersama penerima-penerima sumbangan ketika majlis penyerahan cek peruntukan khas kepada tujuh buah sekolah SJKT sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


PERUNTUKAN tambahan sebanyak RM50,000 diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang, Selangor bagi melaksanakan projek pembinaan bangunan tambahan lima tingkat di sekolah itu.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, peruntukan tambahan itu adalah inisiatif Unit Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil, Jabatan Perdana Menteri (PTST JPM) dan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) bagi menampung kos perbelanjaan yang masih diperlukan oleh sekolah berkenaan.

"Selain itu, SEDIC juga akan menampung kos pembelian kelengkapan perabot enam pra sekolah SJKT yang tersenarai dalam projek pembinaan Prasekolah Yayasan Rakyat 1Malaysia berjumlah RM10,000 bagi setiap sekolah.

"Peruntukan itu akan disalurkan kepada Lembaga Pengelola Sekolah," katanya pada majlis penyerahan cek Peruntukan Khas Perdana Menteri kepada Tujuh SJKT di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, pra sekolah berkenaan dibina melalui peruntukan khas Perdana Menteri dengan kerjasama Yayasan Rakyat 1Malaysia berjumlah RM1.8 juta.

Katanya, sekolah berkenaan ialah SJKT Seaport, Selangor; SJKT Ladang Senawang dan SJKT Ladang Bukit Bertam, Negeri Sembilan; SJKT Ladang Henritta, Kedah; SJKT Klebang, Perak; SJKT Pasir Gudang, Johor dan SJKT Supramaniya Barathee, Pulau Pinang.

"SJKT Seaport sudah beroperasi 3 Januari 2017, manakala tiga pra sekolah iaitu di SJKT Klebang, Ladang Bukit Bertam dan SJKT Ladang Henrietta sudah siap dibina dan akan digunakan dalam masa terdekat.

"Sementara, tiga lagi iaitu SJKT Ladang Senawang, SJKT Pasir Gudang dan SJKT Supramaniya Barathee dalam pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 7:24 PM