Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca dari peralatan sembahyang. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca dari peralatan sembahyang. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEUNIT rumah di tingkat 15 sebuah apartmen dekat Jalan Permas 2, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, terbabit dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, ruang tamu rumah berkenaan terbakar hampir 40 peratus.

Pegawai Operasi Mohd Sufian Mohd Lis berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.38 pagi.

Katanya, BBP Johor Bahru dengan kekuatan lapan anggota dan seorang pegawai turut diarahkan ke lokasi kebakaran bagi menghulurkan bantuan dalam operasi pemadaman.

"Setibanya di lokasi kejadian, api masih ada di kawasan ruang tamu rumah, namun rumah tidak berpenghuni ketika kejadian, menyebabkan kita terpaksa memecahkan pintu masuk rumah itu.

"Kebakaran dipercayai bermula daripada peralatan sembahyang yang diletakkan di ruang tamu rumah berkenaan.

"Kita kemudian mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, bangunan pangsapuri itu mempunyai sistem keselamatan kebakaran sekali gus dapat membantu anggota bomba yang menggunakan alat pemadam api yang disediakan di tingkat 15 itu.

Katanya, punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

"Operasi memadamkan kebakaran kemudian ditamatkan pada 11.09 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 8:19 PM