Pertunjukan bunga api sempena ketibaan Tahun  Baru 2018 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. - Foto HAFIZ SOHAIMI
Pertunjukan bunga api sempena ketibaan Tahun Baru 2018 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. - Foto HAFIZ SOHAIMI
Suraya Roslan dan Syazwan Msar dan Asrizal Aris


PULUHAN ribu meraikan sambutan ambang Tahun Baru di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Bukit Bintang secara santai.

Ribuan pengunjung bersesak di dua lokasi tumpuan itu menyaksikan persembahan konsert dan pertunjukan bunga api.

Di KLCC, lebih 30 gerai dan karavan dibuka dan empat layar lebar disediakan untuk pengunjung sama-sama mengira detik 12 tengah malam serta menonton persembahan bunga api.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis dan ambulans mengawal sekitar kawasan KLCC sebagai persediaan tidak diingini.

Sementara itu, seramai 150 peserta demonstrasi Turun Turun anjuran Gerakan Anak Muda Pakatan Harapan mengambil kesempatan berkumpul depan Sogo bermula jam 11 malam tadi untuk berarak menuju Dataran Merdeka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, polis akan membuka kertas siasatan dengan memanggil penganjur perhimpunan bagi beberapa kesalahan, termasuk tidak mendapat kebenaran untuk berkumpul.

“Dianggarkan 150 peserta menyertai itu dan 1,100 anggota polis mengawal keadaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun polis mengarahkan peserta bersurai namun mereka berdegil meneruskan perarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 12:44 AM