SAKSI kejadian memangku mayat wanita warga emas, Faridah Omar, 62, selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO Ihsan Facebook Laporan Kemalangan Langkawi
SAKSI kejadian memangku mayat wanita warga emas, Faridah Omar, 62, selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO Ihsan Facebook Laporan Kemalangan Langkawi
Hamzah Osman


WANITA warga emas maut apabila motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain di Jalan Ayer Hangat, berhampiran Sekolah Kebangsaan Kilim, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Faridah Omar, 62, dari Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi Asisten Superintendan Ahmad Shukri Ramli berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuah ke Kampung Kilim.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa dilaporkan cuba memasuki simpang sebelah kanan sebelum berlanggar dengan motosikal yang ditunggang remaja lelaki dan pembonceng remaja perempuan yang datang dari arah bertentangan.

"Berikutan itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi (HL) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Ahmad Shukri berkata, penunggang remaja lelaki berusia 18 tahun dan pembonceng remaja perempuan berusia 16 tahun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di HL.

"Siasatan juga mendapati kemalangan berlaku di jalan dua lorong, lurus dan kering, manakala ketiga-tiga mangsa termasuk wanita yang maut tidak memakai topi keledar.

"Mayat dituntut ahli keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 9:52 PM