ORANG ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke Ampang Park sebelum ditutup.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke Ampang Park sebelum ditutup.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: “Ampang Park boleh diibaratkan sebagai rumah kedua kerana di sinilah tempat saya mencari rezeki selama 31 tahun membuka perniagaan di sini,” kata pengusaha kedai jahit Kedai Fat Man, Kevin Chong, 58.

Chong berkata, Ampang Park adalah satu-satunya kompleks beli-belah pertama yang wujud di ibu kota dan pastinya banyak kenangan pahit dan manis yang tidak mungkin dilupakannya.

“Kedai saya antara yang paling lama beroperasi di Ampang Park sejak 1986 apabila ketika itu tidak banyak kedai jahit baju terdapat di sini.

“Dapat dikira dengan jari berapa bilangan kedai jahit kerana selebihnya berpindah dan beroperasi di tempat lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia pada mulanya berat hati mahu meninggalkan kedai yang menyingkap 1,001 kenangan sepanjang menjalankan perniagaan di situ.

Hasil tinjauan Harian Metro ke Ampang Park, semalam mendapati biarpun masih berbaki tiga hari untuk ditutup pada Ahad ini, pengunjung masih lagi berkunjung untuk membeli barangan yang kini menawarkan diskaun hampir 80 peratus.

Kedai di Ampang Park juga kebanyakannya kosong malah peniaga juga giat mengemas peralatan kedai untuk memberi laluan kepada projek pembangunan yang dirancang di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 8:07 AM