Mohd Husni Mohd Noor


HASIL analisis Kementerian Kesihatan terhadap susu rumusan yang dirampas di Johor pada 10 Disember lalu mendapati produk berkenaan selamat namun, tidak mencapai standard kualiti ditetapkan terutama dari segi kandungan lemak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati produk susu rumusan bayi berkenaan tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, kementerian menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan mengambil sampel produk terbabit untuk analisis.

"Sampel produk berkenaan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah kementerian dan Jabatan Kimia Malaysia bagi mengesahkan keselamatan produk berkenaan.

"Kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Baru-baru ini, KPDNKK Johor berjaya merampas 210 kotak susu rumusan bayi bernilai RM42,000 yang disyaki tiruan di lima lokasi berbeza di Johor Bahru.

Laporan sebelum ini menyebut susu rumusan bayi berkenaan disyaki menggunakan cap dagangan tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:03 AM