NOOR Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
NOOR Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS) untuk tempoh lima tahun.

Dr Noor Hisham berkata, pelantikan bermula 2017 hingga 2021 itu diumumkan ISS pada 25 Disember lalu, dan ia adalah sebahagian daripada peranan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi di Jawatankuasa Eksekutif ISS.

"Dengan penuh kehormatan dan rendah diri, saya menerima peranan kepimpinan global ini untuk membabitkan semua pihak dan wakil dari pelbagai negara untuk membangunkan rangka kerja dalam program pengajaran dan latihan khususnya di negara membangun.

"Selain itu, memperbaiki organisasi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan berdasarkan idea kreatif dan inovatif,"katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham yang juga Perunding Pakar Bedah dan Pembedahan Endokrin Payudara berkata, pelantikan ini juga memperlihatkan peranan ISS sebagai organisasi global dalam pembangunan pembedahan ke arah penjagaan yang berkualiti dan memberi tumpuan kepada keselamatan pesakit.

Pada 17 Ogos lalu, Dr Noor Hisham diumum sebagai Ahli Majlis Tertinggi atau Eksekutif Dewan ISS mewakili Malaysia untuk tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021.

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan di peringkat ini, sekali gus menunjukkan penghormatan kepada negara untuk memimpin dan berkhidmat terhadap masyarakat global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 4:34 PM