FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Hasbi Sidek


SELEPAS mengambil keterangan 48 saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Capsquare Resident, polis mengklasifikasikan kes kematian model sambilan warga Belgium akibat terjatuh daripada tingkat 20, 7 Disember lalu sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

"Dalam kejadian 7 Disember lalu polis menemui mayat wanita berkenaan sebelum di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

"Laporan bedah siasat masih belum diperoleh dari HKL," katanya.

Harian Metro 10 Disember lalu melaporkan model sambilan warga Belgium maut terjatuh daripada tingkat 20 kondominium di Jalan Dang Wangi.

Mayat mangsa ditemui di lantai tingkat enam kondominium berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis sehingga kini menemubual serta merakam percakapan 48 saksi berhubung siasatan kes ini yang membabitkan saksi di lokasi kejadian, ahli patologi, pengawal keselamatan, pihak pengurusan kondominium, ahli keluarga, rakan wanita itu serta pengurusan pusat hiburan.

"Pihak polis juga sudah meneliti rakaman CCTV pelbagai lokasi di kawasan kondominium termasuk di kawasan si mati dilihat berada sebelum kejadian.

"Kes kematian ini diklasifikasikan sebagai SDR. Pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

"Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah di talian 012-4834439 atau Ketua Bahagian Siasatan Daerah Dang Wangi Deputi Superintendan M Gunalan di talian 019-3114418," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 8:09 PM