MOHD Rofik Mohd Yusof mengadakan sidang media selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia 2017 di Dewan Serbaguna Taman Meru, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
MOHD Rofik Mohd Yusof mengadakan sidang media selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia 2017 di Dewan Serbaguna Taman Meru, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Balqis Jazimah Zahari


TAMBANG bas sekolah bagi sesi 2018 yang akan bermula Januari depan mungkin akan dinaikkan berikutan peningkatan pelbagai kos yang terpaksa ditampung pengusaha.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, perkara itu tidak dapat dielak berikutan pengusaha terpaksa menampung kos operasi yang tinggi terutama membabitkan kos baik pulih kenderaan yang semakin meningkat.

“Berikutan harga minyak yang tidak menentu pada masa kini, saya menjangkakan akan berlaku sedikit peningkatan harga tambang bas sekolah bagi membolehkan pengusaha bas sekolah mampu menjalankan perkhidmatan.

“Jadi, kami menjangka akan berlaku kenaikan sebanyak RM10 bagi tambang bas di kawasan luar bandar dan RM20 bagi tambang bas sekolah dalam bandar,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Kali Ke-6 yang di Dewan Orang Ramai Taman Meru di Ipoh hari ini.

Mohd Rofik berkata, pengusaha bukan sahaja berdepan dengan peningkatan kos minyak yang tinggi, tetapi kadar semasa baik pulih kenderaan dan alat ganti kenderaan juga dilaporkan meningkat antara 50 hingga 80 peratus.

Katanya, ketika ini GPBSM mempunyai seramai 18,890 ahli di seluruh negara dan jumlah dijangka meningkat kepada 20,000 ahli selepas pembaharuan lesen pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Rofik turut mencadangkan tempoh tamat lesen bas, cukai jalan, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan insuran diselaraskan kepada setahun untuk memudahkan pengusaha bas termasuk kenderaan perdagangan lain membuat pembayaran secara serentak.

“Ini kerana tempoh berlainan akan menyukarkan pengusaha dan operasi tergendala, saya tidak menafikan situasi seolah-olah menggalakkan pengusaha membuat kesalahan memandu tanpa cukai jalan kerana mahu atau tidak mahu mereka terpaksa beroperasi,” katanya

Menurutnya, GPBSM juga berharap supaya polisi yang diperkenalkan oleh pihak berwajib sejak kebelakangan ini boleh diperhalusi oleh pihak yang berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 4:43 PM