PENDUDUK, Norihah Awang, 57 membersih dapur rumahnya yang hampir tenggelam walaupun banjir masih belum surut sepenuhnya di Kampung Kolam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK, Norihah Awang, 57 membersih dapur rumahnya yang hampir tenggelam walaupun banjir masih belum surut sepenuhnya di Kampung Kolam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


TIADA kejadian pecah rumah atau kecurian kenderaan dilaporkan sepanjang tempoh musim banjir antara 26 November hingga kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian berkenaan sepanjang penghuni berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan masing-masing.

"Ini kerana anggota polis sudah diarah supaya melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan yang dikenal pasti dinaiki air dengan menggunakan bot dan kenderaan polis.

"Dalam tempoh lapan hari banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, tiada sebarang kejadian pecah rumah atau kehilangan kenderaan dilaporkan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang banjir itu juga hanya satu kes lemas dilaporkan membabitkan penunggang motosikal berusia 26 tahun ketika melalui kawasan yang ditenggelami air di Kampung Kenak, Pasir Mas, Khamis lalu.

Katanya, ketika banjir itu juga penghuni mengikut arahan pihak keselamatan untuk berpindah, bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Pada masa sama, penduduk di negeri ini perlu peka dengan keadaan semasa termasuk gelombang kedua yang akan berlaku pada bila-bila masa.

"Kita harap penghuni yang diarahkan berpindah supaya berbuat demikian selain memastikan keselamatan rumah termasuk barang berharga dan dokumen penting," katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, bagi tempoh yang sama, sebanyak 71 kes jenayah dilaporkan termasuk kes kekerasan, curi harta benda, curi motosikal, kereta dan van serta lain-lain kes tetapi tiada kaitan dengan banjir.

Katanya, berdasarkan laporan jajahan Kota Bharu mencatat sebanyak 30 kes dan daerah lain hanya antara dua hingga tujuh kes sahaja.

"Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat sangat penting bagi membanteras kegiatan jenayah daripada berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 3:59 PM