Antara barangan dan peralatan yang ditemui semula. FOTO Ihsan KETENGAH
Antara barangan dan peralatan yang ditemui semula. FOTO Ihsan KETENGAH
Zarina Abdullah


DUA lelaki dipercayai kru produksi untuk Sekretariat Monsoon Casting Tournament (MCT) terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik selepas majlis pelancaran ASEAN Monsoon Casting di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir kira-kira 11 pagi hari ini.

Bot berkenaan dipercayai dipandu sendiri salah seorang daripada kru terbabit sebelum terbalik kira-kira 100 meter dari jeti Pengkalan Gawi menyebabkan beberapa peralatan untuk penggambaran tenggelam.

Bagaimanapun, kru berkenaan selamat kerana masing-masing memakai jaket keselamatan sebelum diselamatkan orang ramai

Kejadian itu dipercayai berlaku kerana bot gentian kaca terbabit terlebih muatan hingga menyebabkannya tidak dapat dikawal dan terbalik.

Dianggarkan keseluruhan peralatan dibawa mereka itu bernilai RM80,000 dan sebahagiannya seperti dron, komputer riba dan kamera berjaya ditemui semula.

Sementara itu, Pengurus Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Ahmad Fathil Abd Ghani mengesahkan insiden berkenaan.

Menurutnya, kejadian yang berlaku hanyalah insiden kecil dan tidak menjejaskan acara yang sedang berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:46 PM