PELANCONG mengambil gambar Gunung Agung yang meletus sejak Ahad lalu di Kuil Besakih, Karangasem, Bali. FOTO Antara Foto/Nyoman Budhiana, Reuters
PELANCONG mengambil gambar Gunung Agung yang meletus sejak Ahad lalu di Kuil Besakih, Karangasem, Bali. FOTO Antara Foto/Nyoman Budhiana, Reuters
Nursyahirah Marzuki


RAKYAT Malaysia yang ingin melancong ke Bali, Indonesia dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan semasa mengenai letusan Gunung Agung selain mendaftarkan diri mereka dengan pihak kedutaan.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menunda sebarang perancangan perjalanan ke kawasan yang terjejas di pulau berkenaan.

"Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia kini giat memantau situasi serta kebajikan seramai 1,359 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelancong, pelajar dan mereka yang berkerja di Bali.

"Bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan berada di luar radius zon bahaya 12 kilometer," katanya.

Menurut kenyataan itu, warga negara Malaysia yang terjejas dinasihatkan untuk sentiasa bertenang, mematuhi arahan pihak berkuasa dan melaporkan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang terjejas akibat penutupan lapangan terbang dan penangguhan operasi penerbangan boleh menghubungi pihak Lembaga Pelancongan Bali di talian + 62 812 461 19889/ +62 877 554 689166.

"Mereka juga boleh menghubungi Posko Pelayanan Gunung Agung di Lapangan Terbang Ngurah Rai di talian +62 361 9351011 sambungan 6300 untuk bantuan mengenai penginapan serta pilihan perjalanan," katanya.

Katanya, pilihan perjalanan yang ada termasuk menggunakan jalan darat ke lapangan terbang antarabangsa lain di Indonesia selain menghubungi operator penerbangan yang berkenaan untuk jadual penerbangan dan operasi lapangan terbang terkini.

"Kementerian juga akan terus memantau perkembangan letusan Gunung Agung selepas situasi ditingkatkan ke tahap IV (Awas).

"Notis Pemerhatian bagi Penerbangan juga dinaikkan ke tahap Merah oleh Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia berikutan aktiviti letusan yang berterusan sejak Ahad lalu," katanya.

Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta dan Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta boleh dikunjungi di Jl H R Rasuna Said Kav X/6, No. 1-3, Kuningan, 12950 Jakarta Selatan atau menghubungi talian +62 215 224947 atau +62 81380813036 (termasuk melalui aplikasi Whatsapp) atau emel di [email protected].

Manakala, pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali pula beralamat di Puri Kumara Sakti, Jalan Bentuyung Ubud, Gianyar, 90571, Bali dan nombor telefon yang boleh dihubungi pula adalah +62361973182 atau +62812371540 50 atau emel di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 8:11 PM