Keadaan rumah teres yang dijadikan sebagai premis perjudian. FOTO ihsan polis
Keadaan rumah teres yang dijadikan sebagai premis perjudian. FOTO ihsan polis
Iskandar Shah Mohamed


POLIS Klang Selatan semalam menumpaskan sindiket perjudian atas talian yang menjadikan sebuah rumah teres setingkat di Pelabuhan Klang sebagai 'port' sejak dua minggu lalu.

Bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, sindiket itu dikatakan mengambil pelanggan dengan menggunakan sebuah kenderaan di stesen minyak berdekatan dan membawa ke kediaman terbabit.

Difahamkan, rumah itu disewa sindiket untuk kegiatan haram berkenaan yang mendatangkan pendapatan sehingga RM1,000 sehari.

Taktik itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dihidu Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menyerbu premis berkenaan, kira-kira 6 petang semalam.

Ia membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh berusia 20 hingga 30 tahun disyaki penganjur dan penjaga premis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai aktiviti perjudian di rumah berkenaan.

"Selain tiga suspek, kita merampas 10 set komputer, dua komputer bagi kawalan kredit dan masing-masing sebuah unit modem dan buku catatan urus niaga serta sejumlah wang tunai.

"Mereka dan semua barangan itu dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk siasatan lanjut," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu hanya membenarkan pelanggan tetap yang dikenali berjudi di rumah terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1963 dan Perkara 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 6:26 PM