Muhmmad Rezal Kamal Bashah (kiri) berbual dengan lima nelayan Thailand yang diselamatkan. Foto Rosli Iham
Muhmmad Rezal Kamal Bashah (kiri) berbual dengan lima nelayan Thailand yang diselamatkan. Foto Rosli Iham
Rosli Ilham


LIMA nelayan Thailand terselamat selepas 16 jam hanyut hingga ke pelantar minyak Resak apabila bot yang mereka naiki karam dipukul ombak dalam kejadian kira-kira 108 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai petang semalam.

Kesemua mereka itu ialah tekong bot, Chumpon Kongphet, 31, dan empat awak-awak, Bunrod Talalak, 65; Adul Jampa, 38;Bordin Chantana, 43, dan Hongvengjun, 32, diselamatkan kira-kira 10 malam tadi oleh pekerja pelantar minyak terbabit.

Bot mereka dikatakan karam kira-kira 6 pagi menyebabkan kesemuanya yang memakai jaket keselamatan terpaksa terjun ke laut.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhmmad Rezal Kamal Bashah berkata, kesemua mereka yang dihanyutkan itu kemudiannya berpaut pada tiang pelantar minyak berkenaan.

Menurutnya, pekerja pelantar terbabit yang menyedari kejadian itu kemudiannya membantu membawa mereka naik sebelum memberi makan dan rawatan.

Katanya, nelayan itu kemudiannya dibawa ke jeti Kemaman dengan menggunakan bot keselamatan pelantar, MV Azam Setia sebelum tiba kira-kira 11 pagi hari ini.

"Semua mangsa berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk membuat laporan mengenai kejadian terbabit.

"Berdasarkan maklumat, ketika kejadian mereka itu dalam perjalanan dari Songkla untuk ke Renong di Phuket, Thailand untuk membaiki bot terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 5:23 PM