Bas Muafakat Johor menyediakan perkhidmatan percuma kepada  rakyat Johor. FOTO arkib NSTP
Bas Muafakat Johor menyediakan perkhidmatan percuma kepada rakyat Johor. FOTO arkib NSTP
Mary Victoria Dass


PERKHIDMATAN percuma Bas Muafakat Johor (BMJ) mencatat kira-kira empat juta pengguna di 47 laluan di seluruh negeri dalam tempoh dua tahun pelaksanaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday berkata, bagi kawasan Muar, jumlah kepenggunaan yang dicatatkan keseluruhannya sejak 1 April sehingga September lalu adalah sebanyak 11,248 pengguna bagi tiga laluan membabitkan tiga bas.

Beliau berkata, laluan itu membabitkan dari Terminal Maharani ke Parit Setongkat, Jalan Kampung Tengah dan Taman Tun Dr Ismail serta dari Terminal Maharani ke Kampung Parit Keroma, Taman Bahagia dan Jalan Junid.

"Laluan ketiga pula bermula daripada Terminal Maharani dan terus ke Pekan Bakri melalui Jalan Jeram," katanya.

Md Jais berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) yang ingin mengetahui sambutan orang ramai terhadap BMJ di Johor dan di daerah Muar di Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

Md Jais berkata, bagi menambah baik perkhidmatan BMJ, kerajaan negeri terutamanya Perbadanan Pengangkutan Awam Johor bersama agensi berkepentingan akan mengambil langkah tertentu.

Menurutnya, ia termasuk menyemak semula laluan yang mempunyai kepenggunaan rendah.

“Kepenggunaan BMJ akan meningkat daripada semasa ke semasa.

“Oleh itu kita terus menambah baik dengan menyemak laluan yang mempunyai kepenggunaan yang rendah selama tiga bulan berturut-turut bagi memanjangkan atau mengubah waktu perjalanan dengan mengambil kira kepadatan penduduk dan lokasi khidmat masyarakat seperti sekolah, rumah ibadat, pasar awam, hospital dan klinik kesihatan," katanya.

Md Jais berkata, selain menyemak laluan, usaha turut dilakukan dengan mengenal pasti lokasi mempromosikan laluan dan penjualan Kad Muafakat Johor di seluruh daerah.

"Usaha lain adalah pembinaan tiang maklumat bagi tujuan tempat mengambil dan menurunkan penumpang serta maklumat laluan dan waktu perjalanan BMJ," katanya.

Md Jais berkata, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor juga akan sentiasa mengkaji aspek kos analisis BMJ secara berterusan untuk menambahbaik perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:48 PM