ANGGOTA Agensi Kawalan Sempadan Kelantan (AKSEM) negeri memeriksa kenderaan dari Thailand yang memasuki sempadan Malaysia.
ANGGOTA Agensi Kawalan Sempadan Kelantan (AKSEM) negeri memeriksa kenderaan dari Thailand yang memasuki sempadan Malaysia.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Meskipun sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah lebih dekat, polis Kelantan tetap memperkemaskan kawalan keselamatan di sempadan negeri ini bagi mengelak dibolosi 14 etnik Uighur Muslim dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di Selatan Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya bersama agensi lain yang berkawal di sempadan bersedia menahan mereka sekiranya melalui laluan haram di sempadan Kelantan-Thailand.

Katanya, arahan penahanan segera yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipatuhi sebaik mungkin.

“Kawalan di sempadan seperti biasa tetapi kita lebih perkemaskan dan memberi tumpuan di beberapa kawasan yang berisiko.

“Kemungkinan besar, kumpulan berkenaan (etnik Uighur Muslim) tidak memasuki Kelantan disebabkan jarak perjalanan yang jauh dari lokasi mereka lolos (di Selatan Thailand). Namun, kita akan memberi kerjasama terutama menahan jika melihat mereka memasuki negeri ini,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, sumber Polis Thailand yang enggan dikenali berkata, kumpulan etnik itu berkemungkinan tidak menggunakan pekan Sungai Golok untuk memasuki Kelantan kerana faktor jarak perjalanan yang jauh.

“Jarak perjalanan dari Sadao ke pekan Sungai Golok mengambil masa selama beberapa jam dan mereka kemungkinan menggunakan Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana lebih dekat.

“Faktor sungai juga menghalang mereka untuk mengunakan laluan pekan Sungai Golok,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Thailand memburu 20 etnik Uighur Muslim dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di selatan Thailand, ketika Beijing mendesak Bangkok menghantar mereka pulang.

Pihak berkuasa negara itu dipetik berkata, pelarian berjaya membolosi tembok pusat tahanan di Sadao, berhampiran sempadan paling selatan Thailand, menggunakan selimut untuk melarikan diri ketika hujan lebat dan mereka kemungkinan mahu masuk ke Malaysia.

Lima orang berjaya ditahan pihak berkuasa Thailand, manakala seorang daripadanya ditahan berhampiran pos kawalan tentera di kawasan Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, jam 4 petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:30 AM