ANGGOTA Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Bukit Kayu Hitam menjalankan  sekatan jalan raya terhadap kenderaan yang memasuki Malaysia.
ANGGOTA Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Bukit Kayu Hitam menjalankan sekatan jalan raya terhadap kenderaan yang memasuki Malaysia.
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis Kontinjen negeri giat memburu baki 19 tahanan etnik Uighur yang lolos dari pusat tahanan Imigresen di Sadao, Thailand, awal pagi Isnin lalu.

Semua tahanan terbabit kini dipercayai masih bersembunyi di kawasan sempadan bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa negara ini dan Thailand yang memburu mereka.

Ketua Polis negeri Datuk Asri Yusoff berkata, pihaknya menghulurkan bantuan bagi mengesan baki tahanan itu memandangkan hubungan rapat antara polis negeri ini dan Thailand khasnya dalam membanteras jenayah.

Menurutnya, setakat ini seorang daripada 20 tahanan yang lolos itu berjaya ditahan di kawasan Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, jam 4 petang kelmarin.

“Lelaki lingkungan 30-an itu ditemui orang awam di kawasan Bukit Tangga berhampiran Pos Kawalan Tentera di situ dalam keadaan mencurigakan dan kepenatan selepas melarikan diri dari pusat tahanan terbabit.

“Dia kemudian diserahkan kepada tentera sebelum diserahkan kepada polis dan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

“Dia dipercayai berjalan kaki seorang diri kira-kira lapan kilometer dari Sadao dan tidak mempunyai sebarang dokumen dan kes adalah di bawah Akta Imigresen,” katanya ditemui pada Program My Indah 19 Bersama 201 pengetua sekolah menengah di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Alor Setar, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Dalam pada itu Asri berkata, pihaknya yakin baki tahanan terbabit akan dikesan dalam masa terdekat tambahan sistem keselamatan di sempadan kini semakin canggih berbanding dulu.

Katanya, pihaknya mengetatkan enam kawalan pemeriksaan polis di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di sempadan.

“Setakat ini kami sudah mengedarkan poster gambar semua tahanan terbabit kepada semua agensi di sempadan untuk membantu mengesan mereka.

“Hubungan kita sangat rapat dengan polis Thailand, jadi kita akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan 20 tahanan Uighur yang meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Imigresen Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam insiden 2 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu, semua tahanan yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao dan dipercayai menghala ke hutan berdekatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:42 AM