PIHAK berkuasa Thailand telah mengeluarkan gambar 20 etnik Uighur yang meloloskan diri daripada sebuah pusat tahanan di Sadao Selatan Thai dan kini dipercayai telah berjaya memasuki sempadan Malaysia. Seorang daripada suspek yang memasuki Malaysia ditahan di kawasan Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam. FOTO BERNAMA
PIHAK berkuasa Thailand telah mengeluarkan gambar 20 etnik Uighur yang meloloskan diri daripada sebuah pusat tahanan di Sadao Selatan Thai dan kini dipercayai telah berjaya memasuki sempadan Malaysia. Seorang daripada suspek yang memasuki Malaysia ditahan di kawasan Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam. FOTO BERNAMA
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG daripada 20 tahanan etnik Uighur yang lolos dari pusat tahanan Imigresen di Sadao, Thailand, kelmarin, ditahan di kawasan Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, petang semalam

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff mengesahkan penahanan itu dan polis masih mengesan baki 19 tahanan yang masih bebas setakat ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 30-an itu ditemui orang awam di kawasan Bukit Tangga berhampiran Pos Kawalan Tentera di situ dan diserahkan kepada tentera sebelum diserahkan kepada polis.

"Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

"Dia dipercayai berjalan seorang diri kira-kira lapan kilometer dari Sadao dan tidak mempunyai sebarang dokumen. Kes ini adalah di bawah Imigresen," katanya ketika ditemui pada Program My Indah 19 Bersama 201 pengetua sekolah menengah negeri ini, hari ini.

Program berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Alor Setar.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Dalam pada itu Asri berkata, pihaknya yakin baki tahanan terbabit akan dikesan dalam masa terdekat memandangkan sistem keselamatan di sempadan kini semakin canggih berbanding dulu.

Katanya, pihaknya mengetatkan enam kawalan pemeriksaan polis di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di sempadan.

"Setakat ini kami sudah mengedarkan poster gambar semua tahanan terbabit kepada semua agensi di sempadan untuk membantu mengesan mereka.

"Hubungan kita sangat rapat dengan polis Thailand, jadi kita akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan mereka," katanya.

Sebelum ini, Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan baki tahanan Uighur yang meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Imigresen Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Berita berkaitan

Guna jubin tebuk dinding lokap

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 3:25 PM