Siti Hajar bersama suami, Salman Ismail pada Majlis Konvokesyen UUM, semalam.
Siti Hajar bersama suami, Salman Ismail pada Majlis Konvokesyen UUM, semalam.
Noorazura Abdul Rahman


BIARPUN baru menjalani rawatan kemoterapi akibat penyakit kanser limfoma, seorang graduan menggagahkan diri hadir menerima ijazah sarjana di Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-30 di Sintok, semalam.

Siti Hajar Abdul Halim, 38, berasal dari Kampung Tok Kaya, Terengganu sanggup mengharungi perjalanan lebih 400 kilometer biarpun keadaan dirinya masih lemah.

Katanya, dia tidak mahu terlepas detik kejayaan menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris) selepas mengharungi pelbagai dugaan ketika belajar.

"Saya menyambung pengajian dalam bidang ini pada Mei 2015. Disember tahun lalu, saya mula merasa perubahan pada diri apabila mudah letih selain badan berasa gatal.

"Sehinggalah pada Julai lalu, leher saya bengkak dan terus ke hospital untuk rawatan. Selepas melakukan imbasan temografi komputer, doktor mengesahkan saya menghidap penyakit kanser limfoma tahap 1.

"Dunia saya bagaikan kelam ketika mendapat tahu mengenai penyakit ini.

“Hampir sebulan saya bersedih, mujurlah selepas mendapat sesi kaunseling daripada pakar serta sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya merasa lebih semangat untuk meneruskan kehidupan," katanya yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Telok Pasu, Kuala Terengganu.

Ibu kepada dua anak ini berkata, dia sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dengan sesi terakhir pada 10 November lalu.

Katanya, dia mendapatkan nasihat doktor sebelum bertolak ke Sintok selain diberikan suntikan bagi memastikan keadaannya stabil.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya sudah buktikan mampu lakukan tugas sebagai pendidik, ibu, isteri dan pelajar dalam masa yang sama.

"Saya harap penghidap kanser di luar sana dapat berfikiran positif selain tidak putus harap," katanya.

Siti Hajar antara 1,636 graduan yang menerima ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Pro Canselor UUM Tan Seri Othman Aroff di Dewan Mua'adzam Shah, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 2:48 PM