Anggota APM mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular sawa di Kampung Pudu, semalam.
Anggota APM mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular sawa di Kampung Pudu, semalam.
Ibrahim Isa


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular sawa sepanjang lima meter dipercayai baru menelan anak kambing di Kampung Pudu, Batu Anam, Segamat pada 2.35 petang semalam.

Pegawai APM Segamat Leftenan (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang juga penternak kambing di kampung berkenaan memaklumkan menemui ular menelan seekor anak kambing di dalam kandang kambingnya.

Menurutnya, anggota APM dikejarkan ke lokasi dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan.

"Kami tidak berdepan masalah kerana ular sawa itu tidak agresif berikutan masih kekenyangan selepas menelan anak kambing.

"Selain itu, kami percaya ular berkenaan pernah membunuh dua kambing lain sebelum ini.

"Ular sepanjang kira-kira lima meter dan seberat hampir 150 kilogram itu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Segamat untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang menemui ular diminta menghubungi pihaknya atau pasukan keselamatan lain bagi menangkap haiwan berkenaan.

Katanya, jangan cuba menangkap ular secara sendirian sebaliknya perhatikan pergerakan haiwan itu sebelum pasukan keselamatan tiba untuk menangkap ular terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 12:24 PM