Amat (tiga kanan), dan Mohd Abdul Latiff (tiga kiri), disambut ahli keluarganya , Halimah Mohamad (tengah) ketika tiba di jeti Marina Pulau Tioman. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Amat (tiga kanan), dan Mohd Abdul Latiff (tiga kiri), disambut ahli keluarganya , Halimah Mohamad (tengah) ketika tiba di jeti Marina Pulau Tioman. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA pemandu pelancong yang hanyut di laut sehingga memasuki perairan Indonesia pada 8 November lalu selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing, hari ini.

Amat Muhammad, 50, dan anak saudaranya, Mohd Abdul Latiff Kasim, 29, tiba di Jeti Marina Kampung Tekek, Pulau Tioman pada pukul 6 petang ini, dengan diiringi sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengambil mereka daripada pihak berkuasa Indonesia di sempadan laut Malaysia-Indonesia.

Menceritakan semula kejadian itu, Amat berkata, mereka bertolak dari jeti Sungai Puteri, Kuala Rompin pada 1.30 tengah hari dengan menaiki bot gentian kaca yang baharu dibeli.

Katanya, keadaan cuaca ketika itu tidak begitu baik dan berkabus namun mereka tetap mahu meneruskan perjalanan ke Pulau Tioman.

"Dalam perjalanan kabus semakin tebal menyebabkan saya tidak nampak daratan dan saya buat keputusan untuk menjatuhkan sauh supaya kami boleh berhenti sehingga keadaan cuaca baik dan teruskan perjalanan.

"Tapi ombak semakin kuat dan kami semakin jauh dibawa ombak, sauh tidak membantu kami untuk berada di satu tempat yang sama di laut. Lama-kelamaan kami kehabisan minyak dan terus dibawa ombak," katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua pemandu pelancong hilang selepas bertolak dari Kuala Rompin menuju ke Pulau Tioman dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan mereka.

Amat berkata sepanjang berada di laut, mereka cuba untuk melambai tangan kepada beberapa buah bot namun semua bot itu seolah-olah tidak nampak kelibat mereka manakala telefon bimbit tidak boleh digunakan.

Katanya, sepanjang tiga hari hanyut, mereka berdua hanya bergantung kepada tiga botol air mineral yang diminum secara sikit-sikit.

"Kami berdepan dengan ribut selama dua malam di laut dan ketika itu saya terfikir adakah kami akan menemui ajal di laut atau bot kami akan karam.

"Namun saya tetap kuatkan semangat memandangkan anak saudara ada bersama saya dan cuba bertahan sepanjang tempoh itu," katanya.

Dia yang masih bujang berkata, bot mereka dihampiri sebuah bot nelayan Indonesia pada 11 November lalu dan memaklumkan mereka berada di perairan Pulau Jemaja, Indonesia.

"Mereka membawa kami ke pulau berkenaan dan mahu membawa kami ke hospital namun saya menolak sebelum segera menghubungi keluarga untuk memaklumkan kami selamat.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan kami dan pihak berkuasa dan persatuan nelayan yang membantu melaksanakan operasi SAR sebaik sahaja mereka dilaporkan hilang," katanya.

Berita berkaitan:

Pemandu pelancong hilang

Selamat di Pulau Jemaja

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 10:20 PM