ZAINOL (kiri) bersama Ketua Kejuruteraan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Nor Azlina Mohd Isa dan Pengurus Besar Hotel Sama-Sama Kuala Lumpur International Airport, Norazzudin Omar menunjukkan baju dan medal KUL Marathon 2017.
ZAINOL (kiri) bersama Ketua Kejuruteraan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Nor Azlina Mohd Isa dan Pengurus Besar Hotel Sama-Sama Kuala Lumpur International Airport, Norazzudin Omar menunjukkan baju dan medal KUL Marathon 2017.
Hayati Ibrahim


Sepang: Acara larian KUL Marathon 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena sambutan Jubli Perak Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Ahad ini, akan menjadi larian bandar lapangan terbang pertama di Malaysia dan Asia.

Menariknya, peserta berpeluang menyaksikan pelbagai mercu tanda penting sepanjang laluan larian merangkumi kawasan seluas 100 kilometer persegi (km) sekitar bandar lapangan terbang dikenali KLIA Aeropolis.

Ia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menara kawalan trafik udara, Hotel Sama-sama, landasan tiga, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Mitsui Outlet Park, tempat letak kereta jangka panjang dan klia2.

Pengurus Besar Kanan MAHB Zainol Md Isa berkata, seramai 2,912 peserta akan menyertai acara berkenaan membabitkan empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 25km, 10km dan tiga km bermula dari Terminal Utama KLIA, di sini.

“Penganjuran program ini satu daripada strategi pemasaran MAHB untuk memperkenalkan keseluruhan kawasan lapangan terbang dalam cara berbeza dan lebih dekat, bukan setakat KLIA atau klia2 semata-mata

“Ini kerana, peserta dapat menyaksikan banyak mercu tanda sekitar kawasan KLIA Aeropolis, dan jika bernasib baik mereka berpeluang ‘berlumba’ dengan pesawat yang akan berlepas dari landasan tiga,” katanya pada temubual bersama Kumpulan NSTP di Ibu Pejabat MAHB, di sini, semalam.

Zainol berkata, walaupun baru pertama kali dianjurkan sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan dan jumlah penyertaan melebihi sasaran ditetapkan iaitu 2,500 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:03 AM