Sebahagian 35 pekerja pembersihan lima sekolah di Kuala Kedah menunjukkan salinan laporan polis dan slip gaji terakhir mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Sebahagian 35 pekerja pembersihan lima sekolah di Kuala Kedah menunjukkan salinan laporan polis dan slip gaji terakhir mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

TIGA puluh lima pekerja pembersihan di lima sekolah di Kuala Kedah, Alor Setar mendakwa tidak dibayar gaji oleh majikan sejak tiga bulan lalu hingga menyukarkan mereka untuk menyara kehidupan harian.

Mereka mendakwa tertekan apabila gagal menghubungi majikan untuk mendapatkan penjelasan dan berasa teraniaya dengan apa yang berlaku.

Wakil pekerja terbabit, Shahrom Yahya, 45, berkata, dia sudah 13 tahun terbabit dalam bidang itu, namun baru tiga tahun bekerja dengan syarikat yang mengambil alih kontrak di sekolah berkenaan.

Pada mulanya, pembayaran gaji mereka tidak bermasalah, namun sejak kebelakangan ini gaji yang dibayar tidak menentu dan ada pekerja menerima gaji antara RM300 hingga RM500 sebulan sedangkan mereka sepatutnya menerima bayaran RM900 sebulan.

"Keadaan lebih tertekan apabila kami tidak dibayar gaji sejak Ogos lalu hingga sekarang, malah batang hidung majikan pun tak pernah nampak.

"Sepatutnya majikan bayar RM2,700 untuk tiga bulan tunggakan tetapi langsung tidak dibayar menyebabkan kami buntu memikirkan masalah kewangan ini.

"Kami sudah menyuarakan perkara itu kepada pihak sekolah yang kemudian dipanjangkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum dinasihatkan supaya melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di Kuala Kedah, hari ini.

Shahrom berkata, walaupun dibelenggu masalah kewangan, mereka terpaksa meneruskan tugas dan bekerja di sekolah masing-masing kerana tidak mahu hilang mata pencarian.

Katanya, pendapatan suaminya yang bekerja dengan syarikat pembersihan tidak cukup memandangkan anak mereka masih bersekolah dan seorang lagi masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

"Kami juga sudah membuat laporan ke Jabatan Tenaga Kerja Kota Setar untuk memaklumkan perkara itu dan berharap tindakan segera dapat diambil supaya majikan dapat menjelaskan gaji kami yang tertunggak," katanya.

Ahmad Taib, 56, pula berkata, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibayar penuh, malah majikan hanya berjanji menaikkan gaji pekerja RM100 setiap seorang namun tidak mengotakannya.

Kali terakhir dia menerima gaji pada Ogos lalu sebanyak RM300 dan baki RM600 lagi tidak dibayar sehingga hari ini.

"Sebelum ini hanya ejen yang datang menghantar wang pada kami secara tunai dan slip gaji hanya diberi pada hujung bulan.

"Kami rasa dianiaya dan berharap ia dapat diselesaikan segera kerana kami perlu menjelaskan hutang tertunggak pada bank selain bil air dan elektrik setiap bulan.

"Saya terpaksa meneruskan kerja ini walaupun mempunyai masalah kencing manis kerana perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan,"katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Jabatan Tenaga Kerja Kedah, Iskandar Jassa berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada pekerja terbabit sejak Julai lalu dan dalam proses mengesan majikan berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini mereka berusaha mencari individu terbabit melalui alamat rumah yang diperoleh, namun gagal mengesannya.

"Kami berharap majikan tampil berurusan dengan kami bagi menyelesaikan masalah ini dan setakat ini tidak mendapat kerjasama walaupun pihak kami menghantar surat kepada majikan terbabit.

"Dalam kes ini, ia seperti menganiaya pekerja pembersihan terbabit kerana mereka tidak dibayar gaji dan kes boleh disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kerja 1955 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 setiap pekerja.

"Majikan yang lambat membayar gaji pekerja lebih daripada seminggu selepas tempoh sebulan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang bagi seksyen di atas,” katanya.

Iskandar berkata, setakat ini pihaknya sudah membuka lapan fail siasatan berhubung kes itu yang turut disiasat mengikut Akta Majlis Perundangan Gaji Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 5:15 PM