Keadaan motosikal mangsa kemalangan di simpang masuk ke Taman Sri Aman, Lukut yang menyebabkan kaki kiri mangsa putus. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Keadaan motosikal mangsa kemalangan di simpang masuk ke Taman Sri Aman, Lukut yang menyebabkan kaki kiri mangsa putus. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki putus kaki kiri selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 8.5 Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Taman Sri Aman, Lukut, Port Dickson, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa P Sivakumar, 41, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dirempuh ketika mahu memasuki persimpangan ke Taman Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Port Dickson ke Seremban membelok ke kanan memasuki laluan bertentangan untuk ke taman perumahan itu.

"Sebuah kereta Proton Satria dipandu lelaki berusia 47 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal mangsa.

"Mangsa tercampak menyebabkan dia cedera parah di kepala serta putus kaki kiri di bahagian betis. Namun, pemandu kereta cedera ringan di kepala dan tangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 4:57 PM