PEKERJA kilang, Amirulfaizal Amiruddin, 27, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu merogol dan melakukan seks di luar tabii serta merompak penuntut universiti di Shah Alam minggu lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
PEKERJA kilang, Amirulfaizal Amiruddin, 27, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu merogol dan melakukan seks di luar tabii serta merompak penuntut universiti di Shah Alam minggu lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Fuad Hadinata Yaacob


PEKERJA kilang mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan termasuk merogol penuntut universiti tempatan berusia 22 tahun minggu lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh Amirulfaizal Amiruddin, 27, didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) iaitu merogol mangsa dan meletakkan wanita itu dalam ketakutan kematian di bawah pokok di belakang pangsapuri di Jalan Keluli, Seksyen 7, Shah Alam antara 8.30 malam sehingga 10.30 malam, 1 November lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Untuk pertuduhan kedua, Amirulfaizal didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa tanpa kerelaannya di tempat, tarikh serta masa sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta disebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, melakukan samun dengan menggunakan sebilah pisau terhadap mangsa sama dengan mengugutnya menyerahkan telefon bimbit jenis Samsung J2 Prime dan wang tunai kira-kira RM100.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa sama dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan didenda serta dikenakan sebatan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Dalam kejadian 1 November lalu, mangsa diperdaya seorang lelaki yang berpura-pura bertanyakan arah jalan sebelum mengacukan pisau dan menarik mangsa ke dalam kereta lalu menghala ke kawasan kilang berhampiran sebuah pangsapuri di Seksyen 7.

Selepas memberhentikan kereta di kawasan gelap, lelaki itu merogol mangsa dan turut menyamun wang tunai RM100 serta telefon bimbit mangsa sebelum mengarahkan mangsa turun dari kereta.

Kejadian berlaku pada 8.30 malam ketika mangsa yang berseorangan, baru pulang dari pasar malam di Seksyen 7, Shah Alam menghala ke sebuah hentian bas sebelum didatangi lelaki itu.

Mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.

Berita berkaitan:

Tanya, tarik, rogol...

Suspek rogol penuntut ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 5:29 PM