AIDID (dua dari kanan) selepas Program Duta GST/TTx (Cukai Pelancongan) di Pejabat Bahagian GST JKDM Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak.
AIDID (dua dari kanan) selepas Program Duta GST/TTx (Cukai Pelancongan) di Pejabat Bahagian GST JKDM Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak.
Helmy Abd Rahman


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mencapai sasaran kutipan cukai tahunan, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sebanyak RM565 juta pada Ogos lalu, empat bulan lebih awal daripada dijadualkan.

Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata, pihaknya juga mencatat kutipan hasil melangkaui 95 peratus daripada jumlah semakan semula sasaran kutipan cukai RM780 juta.

“JKDM Terengganu muncul negeri pertama di negara ini yang mencapai sasaran awal kutipan cukai tahunan iaitu RM565 juta pada 6 Ogos lalu.

“Susulan kejayaan ini, sasaran tahunan disemak semula kepada RM780 juta dan suka saya maklumkan, sehingga hari ini (semalam), kami sudah kutip RM750 juta serta berada pada landasan untuk mencapai sasaran baru yang ditetapkan itu menjelang akhir tahun,” katanya selepas Program Duta GST/TTx (Cukai Pelancongan) di Pejabat Bahagian GST JKDM Terengganu, hari ini.

Menurutnya, kadar pematuhan pembayaran cukai bagi mereka yang layak di Terengganu adalah sangat tinggi.

“Malah, setakat ini kita belum lagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan kepada pembayar cukai.

“Selain itu, kutipan hasil yang diperoleh di negeri ini menunjukkan ekonomi Terengganu sangat rancak. Kita tidak suka-suka meletakkan sasaran sebaliknya ia berlandaskan laporan prestasi ekonomi,” katanya.

Berkaitan TTx, Aidid berkata, setakat ini pemilik tempat penginapan seperti hotel, resort dan inap desa di negeri ini memberi sambutan amat memberangsangkan apabila 95 peratus daripadanya sudah membuat pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:11 PM